CAMERON HIGHLANDS: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menggesa supaya projek pembaikan cerun di penempatan Orang Asli Kampung Sungai Ruil, Tanah Rata di sini dipercepatkan agar mangsa terlibat dapat segera kembali ke penempatan mereka.

Baginda turut bertitah agar pihak terlibat dalam kerja pembaikan itu termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) melaksanakan projek tersebut sebaik mungkin supaya kejadian sama tidak berulang.

"Saya masih ingat 2011 kejadian seperti ini pernah berlaku dan ini yang membawa kepada pelaksanaan projek penempatan sekarang ini.

"Namun saya berharap agar ia (projek pembaikan) dipercepatkan, kalau lihat peruntukan pun tidaklah besar sangat, kalau boleh dipercepatkan agar semua mereka-mereka (mangsa) ini boleh balik ke rumah," titah baginda selepas berkenan berangkat melawat rumah transit 17 keluarga mangsa cerun runtuh di sebuah kuarters Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Tanah Rata di sini.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ahli Parlimen Cameron Highlands Datuk Ramli Mohd Nor.

Dalam kejadian 10.56 pagi 12 Okt tahun lepas, cerun di penempatan Kampung Orang Asli Sungai Ruil terjejas akibat tanah runtuh, menyebabkan enam buah rumah dan beberapa kenderaan penduduk terjejas.

Susulan itu, 17 keluarga diarah mengosongkan rumah masing-masing dan ditempatkan di PPS Dewan KOA Sungai Ruil sebelum dipindahkan ke kuarters TNB sementara menunggu pembaikan cerun selesai.

Projek pembaikan cerun itu dijangka mengambil masa dua tahun membabitkan peruntukan RM3.5 juta.

Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menanggung sepenuhnya pembayaran sewa kuarters bagi 17 keluarga terbabit mulai Februari lepas.

TNB sebelum ini bersetuju menawarkan sewa RM500 seunit dan mengecualikan bayaran deposit sewaan selama tiga bulan.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah bertitah agar pihak berkenaan memantau keselamatan cerun di kawasan Cameron Highlands yang sering berlaku runtuhan terutama ketika musim hujan.

"Keselamatan cerun-cerun terutama di tepi jalan juga perlu diambil kira untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya," titah baginda.

Sultan Pahang turut mengingatkan agar pemilik penempatan Orang Asli Sungai Ruil tidak sewenang-wenangnya menukar hak milik rumah berkenaan yang disifatkan baginda sebagai projek penempatan Orang Asli paling mewah pernah dibangunkan.

Baginda turut berkenan beramah mesra dengan mangsa terjejas serta mengurniakan sumbangan sebelum berangkat melawat lokasi runtuhan.

-- BERNAMA